Bediuzzaman adalah salah seorang ulama’ yang bertungkus lumus berjuang menyedarkan rakyat
Turki agar menolak fahaman Sekular dan kembali kepada Islam. Beliau
lahir pada tahun 1878 iaitu era pemerintahan Khlalifah Abdul Hamid II (
1876 – 1909 ).
Ketika
Mustafa Kamal Attaturk naik menjadi Presiden pertama Republik Turki
pada tahun 1924, Sheikh Bediuzzaman berusia 46 tahun. Beliau menyaksikan
sendiri bagaimana jahatnya regim Kamal Attaturk menghentam Islam dan
menyerangnya dari pelbagai sudut. Badai sekularisasi akhirnya disedari
oleh umat Islam Turki yang sebelum itu mengangkat Kamal Attaturk sebagai
‘Mujahid Islam’ kerana berperanan memimpin beberapa kali peperangan
menghadapi musuh-musuh Turki. Namun, semuanya telah terlambat.
Unsur-unsur Islam dalam pemerintahan habis disapu bersih agar tidak
tersisa sedikitpun.
Saat
itulah, umat Islam tersedar mereka dikhianati oleh Mustafa Kamal yang
sebelum itu dalam ucapan-ucapannya menjanjikan kegemilangan untuk Islam.
Akhirnya, sebahagian umat Islam yang masih kukuh pegangan terhadap
Islam bangkit melakukan jihad melawan Mustafa Kamal dan pendokongnya
(Kemalis). Revolusi yang paling penting terjadi di wilayah Tenggara
Turki pada tahun 1344 Hijrah, kemudian di Manyamin pada 1349 Hijrah.
Perlawanan ini berhasil dipatahkan oleh orang-orang Kamal Attaturk
(Kemalis) dengan cara yang paling untuk dibayangkan. Zalim, sadis dan
dahsyat ! Dalam revolusi ini, terdapat sekian
banyak ulama’ yang menjadi korban kekejaman pendokong Kamal Attaturl.
Bahkan, beliau sampai melakukan kezaliman dan diskriminasi ke atas
kawasan-kawasan yang terdapat umat Islam yang memberontak terhadap
pemerintahannya. Mereka tidak mendapat perhatian dalam bidang ekonomi
dan ilmu pengetahuan.
Kemunculan Jama’ah An-Nur selepas Khalifah Abdul Majid II (1922 – 1924) dijatuhkan, tambah merungsingkan regim Kemalis.
An-Nur yang dipimpin oleh Bediuzzaman dan murid-muridnya yang datang
setelah itu melakukan perlawanan dengan cara menuliskan beberapa
buku-buku berunsur keIslaman dan Risalah An-Nur. Tujuannya untuk
memberikan kesedaran Islam dan melawan prinsip-prinsip Kemalisme dan
Sekularisme. Gerakan ini tidak menggunakan pendekatan bersenjata kerana
melihat kondisi yang agak merumitkan saat itu. Jihad mereka adalah
melalui lisan dan penulisan. Kebimbangan Kamal menjadi-jadi apabila
melihat seruan Bediuzzaman disambut baik oleh sebahagian umat Islam yang
memaksa beliau memanggil Bediuzzaman untuk berbincang serta memujuk
agar An-Nursi berpihak kepadanya.
Bediuzzaman
membantah keras pendirian golongan Kemalis yang mengaggap ajakan beliau
kepada orang ramai untuk solat boleh menimbulkan perpecahan di dalam
sesebuah majlis. Maka beliau menjawab,
“ sesungguhnya hakikat yang utama yang muncul setelah Islam adalah
solat dan sesungguhnya orang yang tidak solat adalah adalah pengkhianat,
sedangkan pemerintahan seorang pengkhianat adalah ditolak !”.
Akibat
ucapannya itu, beliau dipenjarakan dan kemudian diasingkan setelah
dituduh melakukan konspirasi untuk menggulingkan pemerintah pada tahun
1935.Namun demikian, dakwah dan seruannya diteruskan langsung dan
menyebar dengan cara rahsia di tengah-tengah golongan akademisi dan
tentera serta pejabat-pejabat pemerintah. Bahkan, pernah dicatat bahawa
Bediuzzaman pernah menulis risalah dakwah diatas beberapa kertas kecil,
lalu dilipat halus dan diisi kedalam kotak mancis yang diseludup keluar
oleh kakitangan penjara yang bersimpati terhadap dakwahnya. Akhirnya,
sekali lagi beliau dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan mengatakan
Kamal Attaturk adalah ‘Dajjal’.
Dihadapan muka pengadilan, beliau menyampaikan ucapan dengan menyebut, “ sungguh
saya merasa hairan bagaimana manusia-manusia yang saling memberi salam
dengan salam Al-Qur’an, bayan-bayannya dan mukjizat-mukjizatnya, dituduh
mengikuti gerakan politik rahsia. Pada saat yang sama, orang-orang yang
biadab itu diberi hak untuk memperlecehkan Al-Qur’an dan
kebenaran-kebenarannya dengan cara yang sinis dan menjijikkan. Setelah
itu apa yang mereka lakukan dianggap sebagai satu yang suci dengan
alasan kebebasan. Sedangkan cahaya Al-Qur’an yang kini bersinar disekian
juta kaum Muslimin yang terikat dengan undang-undangnya dianggap
sebagai kejahatan, kehinaan dan kelicikan”.
“Dengarlah
wahai orang-orang yang menjual agamanya dengan akhiratnya, yang
terjerembab dengan kekufuran yang mutlak, sesungguhnya aku katakana
dengan segala kekuatan yang Allah berikan kepadaku, “ Lakukanlah apa
yang mungkin kalian lakukan, sebab puncak keinginan kami adalah
menjadikan kepala-kepala kami sebagai tebusan dari sekecil apa pun
hakikat dari kebenaran-kebenaran Islam…” Bediuzzaman pun dikembalikan ke
pengasingan hingga tahun 1367 Hijrah tatkala pemerintah terpaksa harus
memenuhi tuntutan umat Islam untuk melakukan aktiviti keagamaan mereka.
Jama’ah An-Nur ditekan begitu dahsyat dan sempat hidup sekitar 9 bulan sahaja setelah
bersusah payah melakukan revolusi jihad ke atas pemerintahan Kamal
Attaturk. Pendokong dan pengikut Jama’ah An-Nur kebanyakannya adalah
mereka yang berbangsa Kurdis iaitu bangsa Bediuzzaman. Perjuangan mereka
berakhir dengan ribuan dihukum gantung , selebihnya dipenjarakan dan
dihalau keluar dari Turki oleh Mustafa Kamal. Beberapa pimpinannya
dibunuh. Bediuzzaman menghembuskan nafas yang terakhir pada 23 Mac 1960.
Kejahatan
pihak pemerintah tidak dapat dibendung lagi apabila menyaksikan dakwah
Bediuzzaman diteruskan oleh anak muridnya. Akhirnya, pihak pemerintah
mengarahkan agar makam Bediuzzaman dibongkar semula dan jenazahnya
dipindahkan ke satu tempat yang tidak diketahui sampai sekarang.
Catatan : Bagi
teman-teman yang ingin melakukan kajian dan meneruskan pembacaan
tentang perjuangan Bediuzzaman Said An-Nursi, rujuk disini http://saidnursy.multiply.com/ beserta lain-lain gambar dan video yang menarik.
Gambar 1 - Bediuzzaman, 2 - Beliau dan murid-muridnya, 3 - Suasana pemakaman jenazah beliau, 4 - Makamnya yang sempat difoto.
InsyaAllah…dalam artikel berikutnya, penulis akan mengumpulkan sebanyak mungkin senarai kezaliman dan pengkhianatan Mustafa Kamal ke atas Islam dan ummahnya.
Sumber rujukan:
1) Gerakan Fremasonry-Musuh Dalam Menghancurkan Islam, Malaysia.
2) Sejarah Para Khalifah,Pustaka Al-Kautsar,Jakarta Timur.
3) Sebahagian foto dari http://saidnursy.multiply.com/
Tidak ada komentar:
Posting Komentar